Saturday, April 11, 2009

Cinta Mekar Di Hati - Rose Harissa


Setiap cinta…pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan…tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal…cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama ALLAH, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepadaku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alia Marina… cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim- Khalil Gibran

Sunday, February 1, 2009

Chinta - Norhayati Berahim


Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya.

Seribu Kali Sayang - Anis Ayuni


SUDAH ditakdirkan sejak lahir, Nur Qazrina atau Abby ditinggal ayahnya. Bagi Abby, tanpa kehadiran lelaki itu hatinya tetap bahagia. Menginjak usia remaja, ungkitan Kak Lisa yang dialah punca perceraian ibu dan bapa mereka, sangat membebankan jiwa. Kakaknya juga sering mempamer reaksi tidak menyenangi kehadirannya di rumah.

Daripada teman Kak Lisa yang silih berganti, kehadiran Syed Nadjmil Faiz dilihat oleh Abby sebagai calon suami yang terbaik untuk kakaknya. Sikapnya yang bertanggungjawab dan melindungi sesekali membuatkan Abby digoda perasaan. Namun mujurlah dia segera mengingatkan diri bahawa bakal abang ipar masakan boleh dijadikan teman sendiri.

Hasrat meminang yang disuarakan oleh Syed Nadjmil Faiz menimbulkan konflik. Bagi Abby, hasrat itu jatuh di tempat yang salah kerana bercinta dengan kakak, mengapa pula yang dipinang adiknya? Sudah hilang pertimbangan akal barangkali, maka Syed Nadjmil Faiz memilihnya dan bukan Kak Lisa.

Bagi Syed Nadjmil Faiz, berkawan bukan ertinya berkasih. Sekian lama mengenali si kakak, hatinya tidak pernah disapa rasa cinta. Tetapi pertama kali bertemu Abby, perasaannya digoda rindu. Meskipun sangat mengharap agar salam kasihnya bersambut, dia sedar Abby berhak menolak.

Kebencian Kak Lisa terhadap Abby bagaikan tidak bernoktah. Abby terjebak dalam dilema. Bagaimana kemelut ini hendak dirungkai?

Saturday, January 31, 2009

Selaut Kasih - Azilawati Mat Angsar


Kasih sayang antara Najihah dan Jeffry ibarat bulan dan bintang. Kebahagiaan rumah tangga mereka umpama laut yang tenang. Janji setia yang mereka lafazkan tetap kukuh. Cinta mereka tidak pernah surut. Namun, ombak resah akhirnya mendamparkan mereka ke pantai dugaan. Najihah diperkosa oleh Faiz, lelaki pendendam yang cintanya ditolak oleh Najihah. Tragedi hitam itu menyebabkan Najihah jadi paranoid. Apatah lagi bila dia disahkan mengandung. Tapi anak siapa? Sebagai suami, Jeffry berusaha memahami perubahan Najihah yang jadi pendiam dan langsung tidak mahu disentuh. Tapi, ego lelakinya sering bertingkah dengan keadaan Najihah dan kemahuan kelelakiannya. Demi kebaikan bersama, Najihah memaksa Jeffry menikahi Sharlini sebagai isteri kedua. Konflik rumah tangga mereka semakin kalut, bila Sharlini bertindak merampas Jeffry sebagai ‘haknya seorang’ kerana kononnya Jeffry adalah bekas kekasihnya yang ‘dirampas’ oleh Najihah. Bagi Jeffry, dalam hatinya cuma ada Najihah...

Ombak Rindu - Fauziah Ashari


IZZAH adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?

Impian Kasih - Liza Zahira


SAKITNYA... bila cinta dikhianati. Justeru itu, Hazita melontarkan keinginannya jauh-jauh setelah cinta pertamanya dipersia. Dia tega memaksa hati menjadi sekeras kerikil. Baginya, lelaki usah dipercayai. Lantas... lamaran kasih daripada Hairie, lelaki kedua dipandang sepi.

Mulut menidakkan sedang hatinya enggan berdusta. Ternyata, Hazita gagal menepis kehendak rasa. Dia akhirnya terdampar dalam cinta seorang lelaki bernama Amer. Mimpi mereka bersatu dalam melafaz janji setia.

Ketika asyik menyulam rindu, muncul e-mel misteri dari Korea. Joo Eun, wanita mualaf mengaku Amer suaminya. Sejak bertahun, lelaki itu pergi tanpa khabar berita. Adakalanya Joo Eun pasrah. Namun, winter sonata yang pernah mereka lalui bersama, menyebabkan dia tidak pernah berhenti mengharap. Kepulangan seorang suami sentiasa didoa menjadi kenyataan, sebelum nafasnya terhenti.

Hazita terkedu! Sanggupkah dia menghancurkan kesetiaan wanita itu? Ah, dia nekad, Amer mesti kembali pada yang berhak!

Dalam merawat duka, Hairie datang menghulur salam. Janji kasih yang pernah dilafazkan hanya untuk sang ratu hatinya. Akhirnya Hazita akur, cinta itu sebagai rahmat dan nikmat. Dalam pahit bak hempedu, manisnya tetap dirasa.....

Seharum Kasih - Aina Emir


ANEHNYA cinta, bila dua hati saling merindu pada bait kata-kata. Tanpa kenal wajah, tanpa dengar suara, Reeza dan Rasya saling bertingkah rasa. Bagi Reeza, hubungan ini harus dimaknakan segera. Namun, Rasya sering berdalih menyembunyikan resah. Mengapa sukar untuknya melafazkan cinta? Sedangkan bahagia sudah di depan mata?

Sayang sekali... gosip dan fitnah melontarkan jauh cinta mereka. Rasya pergi dengan prasangka. Dia bertindak menerima kasih Fahmi untuk membalas sakit hati. Namun, akhirnya Fahmi melepaskan Rasya yang masih suci. Tetapi Rasya malu untuk kembali kepada lelaki sejujur Reeza. Dia sengaja menghilangkan diri agar jejaknya tidak dicari. Tetapi dunia yang luas ini tidak mampu memisahkan mereka.

Pertemuan yang tidak diduga merapatkan kembali sisa cinta yang hampir padam. Tapi redhakah dia melukakan hati Hilda, tunangan Reeza? Kali ini Rasya tekad! Cinta Reeza harus direbut dan dimiliki!

Cinta Pertama - Norhayati Berahim


Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti. Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati... atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati? Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama... terseksa dalam keindahan?

Air Mata Kasih - Norhayati Berahim


Tragedi 40 tahun duu telah meninggalkan bayangan hitam dalam hidup Fakrulrazi. Kerana tingkah seorang perempuan, dia menyimpan dendam pada perempuan. Baginya, perempuan sering mendatangkan bencana. Oleh itu timbul diskriminasi antara anak lelaki dan anak perempuan dalam keluarganya. Dan dia sendiri amat memusuhi anak perempuannya Farah Diba, sedangkan gadis itu tidak bersalah. Malah dia cuba menafikan kewujudan gadis itu dari pengetahuan rakan-rakan bisnesnya.

Farah Diba, cekalkan hati untuk menghadapi kebencian bapanya. Dengan air mata, dia meneruskan kehidupannya tanpa kasih sayang dan perhatian lelaki itu. Sebagai magsa sebuah dendam, dia mahu membuktikan bahawa anak perempuan juga punya hak dan berhak!

TUHAN menurunkan 'petunjuk' bila Fakrulrazi dan anak lelakinya Fuad serta Farid hilang di Whitsunday Island, Australia. FAS Holdings milik Fakrulrazi menjadi rebutan rakan dan saudara mara. Akhirnya, Farah Diba terpaksa menerajui syarikat itu. Tanpa dendam, benci atau sakit hati, dia melonjakkan nama syarikat itu di mata korporat. Namun, usahanya itu tidak berpanjangan bila Fakrulrazi kembali.

Dimankah Farah Diba selepas ini?
Adakah dendam itu terus menjadi hitam?
Hanya lelaki itu yang dapat menjawab persoalan ini!

Bisikan Rindu - Mimie Afinie


Antara Shahrul dan Ikhwan kedua-duanya sama kacak sama baik. Jika di hati tiada rasa cinta salah seorang harus berkorban. Jika mulut berkata sayang sedangkan hati berkata tidak, untuk apa sebuah percintaan? Sekuat manapun cinta shahrul kepada Dina, hatinya tetap milik Ikhwan. Kehadiran Ikhwan mengajar Dina erti sebuah rindu. Sehari tidak berjumpa ibarat setahun lamanya. Namun percintaan mereka sering diuji dengan salah faham dan kebetulan. Akhirnya Dina mengalah. Perginya bukan kerana kala, tetapi pergi mencari harga diri yang dicampak oleh lelaki yang amat dicintai. Kerana cinta itu Dina sanggup tinggalkan Ikhwan dan segala-galanya... Setelah agak lama menyepi, Dina nekad ingin kembali. Sayangnya kepulangan Dina dalam keadaan yang tidak terduga! Tiada kata maaf tiada pelukan mesra. Yang ada hanya tangisan. Gembira atau duka?