Saturday, April 11, 2009

Cinta Mekar Di Hati - Rose Harissa


Setiap cinta…pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan…tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal…cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama ALLAH, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepadaku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alia Marina… cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim- Khalil Gibran

Sunday, February 1, 2009

Chinta - Norhayati Berahim


Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya.

Seribu Kali Sayang - Anis Ayuni


SUDAH ditakdirkan sejak lahir, Nur Qazrina atau Abby ditinggal ayahnya. Bagi Abby, tanpa kehadiran lelaki itu hatinya tetap bahagia. Menginjak usia remaja, ungkitan Kak Lisa yang dialah punca perceraian ibu dan bapa mereka, sangat membebankan jiwa. Kakaknya juga sering mempamer reaksi tidak menyenangi kehadirannya di rumah.

Daripada teman Kak Lisa yang silih berganti, kehadiran Syed Nadjmil Faiz dilihat oleh Abby sebagai calon suami yang terbaik untuk kakaknya. Sikapnya yang bertanggungjawab dan melindungi sesekali membuatkan Abby digoda perasaan. Namun mujurlah dia segera mengingatkan diri bahawa bakal abang ipar masakan boleh dijadikan teman sendiri.

Hasrat meminang yang disuarakan oleh Syed Nadjmil Faiz menimbulkan konflik. Bagi Abby, hasrat itu jatuh di tempat yang salah kerana bercinta dengan kakak, mengapa pula yang dipinang adiknya? Sudah hilang pertimbangan akal barangkali, maka Syed Nadjmil Faiz memilihnya dan bukan Kak Lisa.

Bagi Syed Nadjmil Faiz, berkawan bukan ertinya berkasih. Sekian lama mengenali si kakak, hatinya tidak pernah disapa rasa cinta. Tetapi pertama kali bertemu Abby, perasaannya digoda rindu. Meskipun sangat mengharap agar salam kasihnya bersambut, dia sedar Abby berhak menolak.

Kebencian Kak Lisa terhadap Abby bagaikan tidak bernoktah. Abby terjebak dalam dilema. Bagaimana kemelut ini hendak dirungkai?

Saturday, January 31, 2009

Selaut Kasih - Azilawati Mat Angsar


Kasih sayang antara Najihah dan Jeffry ibarat bulan dan bintang. Kebahagiaan rumah tangga mereka umpama laut yang tenang. Janji setia yang mereka lafazkan tetap kukuh. Cinta mereka tidak pernah surut. Namun, ombak resah akhirnya mendamparkan mereka ke pantai dugaan. Najihah diperkosa oleh Faiz, lelaki pendendam yang cintanya ditolak oleh Najihah. Tragedi hitam itu menyebabkan Najihah jadi paranoid. Apatah lagi bila dia disahkan mengandung. Tapi anak siapa? Sebagai suami, Jeffry berusaha memahami perubahan Najihah yang jadi pendiam dan langsung tidak mahu disentuh. Tapi, ego lelakinya sering bertingkah dengan keadaan Najihah dan kemahuan kelelakiannya. Demi kebaikan bersama, Najihah memaksa Jeffry menikahi Sharlini sebagai isteri kedua. Konflik rumah tangga mereka semakin kalut, bila Sharlini bertindak merampas Jeffry sebagai ‘haknya seorang’ kerana kononnya Jeffry adalah bekas kekasihnya yang ‘dirampas’ oleh Najihah. Bagi Jeffry, dalam hatinya cuma ada Najihah...

Ombak Rindu - Fauziah Ashari


IZZAH adalah seorang gadis yatim piatu yang kematian orang tua mereka akibat kemalangan jalan raya. Justeru itu, pak saudaranya, Taha mengambil tugas memelihara Izzah. Isteri Taha tidak senang dengan kehadiran Izzah dan menuduh Izzah membawa bencana dalam keluarga.

Pak cik Taha banyak berhutang. Disebabkan kesempitan wang dia sanggup menjual anak saudaranya itu kepada seorang tauke kelab malam. Izzah terpaksa mengikut kehendak pak saudaranya walaupun hatinya tidak rela.

Di situlah dia telah berkenalan dengan seorang pelanggan bernama Hariz. Hariz telah membeli Izzah dengan harga yang mahal dari tauke kelab itu dan membawa dia keluar dari neraka jahanam itu. Di atas permintaan Izzah, akhirnya Hariz berkahwin dengan Izzah tetapi dengan syarat semuanya mesti dirahsiakan.

Kehadiran Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan, iaitu model dan pelakon terkenal tanahair menggugat cinta Izzah yang mula berputik kepada Hariz. Dapatkah Izzah menerima Mila Amylia sebagai madunya? Bahagiakah rumah tangga yang dibina di atas kehadiran orang lain? Bagaimanakah tindakan Datuk Sufiah setelah mengetahui cerita sebenarnya?

Impian Kasih - Liza Zahira


SAKITNYA... bila cinta dikhianati. Justeru itu, Hazita melontarkan keinginannya jauh-jauh setelah cinta pertamanya dipersia. Dia tega memaksa hati menjadi sekeras kerikil. Baginya, lelaki usah dipercayai. Lantas... lamaran kasih daripada Hairie, lelaki kedua dipandang sepi.

Mulut menidakkan sedang hatinya enggan berdusta. Ternyata, Hazita gagal menepis kehendak rasa. Dia akhirnya terdampar dalam cinta seorang lelaki bernama Amer. Mimpi mereka bersatu dalam melafaz janji setia.

Ketika asyik menyulam rindu, muncul e-mel misteri dari Korea. Joo Eun, wanita mualaf mengaku Amer suaminya. Sejak bertahun, lelaki itu pergi tanpa khabar berita. Adakalanya Joo Eun pasrah. Namun, winter sonata yang pernah mereka lalui bersama, menyebabkan dia tidak pernah berhenti mengharap. Kepulangan seorang suami sentiasa didoa menjadi kenyataan, sebelum nafasnya terhenti.

Hazita terkedu! Sanggupkah dia menghancurkan kesetiaan wanita itu? Ah, dia nekad, Amer mesti kembali pada yang berhak!

Dalam merawat duka, Hairie datang menghulur salam. Janji kasih yang pernah dilafazkan hanya untuk sang ratu hatinya. Akhirnya Hazita akur, cinta itu sebagai rahmat dan nikmat. Dalam pahit bak hempedu, manisnya tetap dirasa.....

Seharum Kasih - Aina Emir


ANEHNYA cinta, bila dua hati saling merindu pada bait kata-kata. Tanpa kenal wajah, tanpa dengar suara, Reeza dan Rasya saling bertingkah rasa. Bagi Reeza, hubungan ini harus dimaknakan segera. Namun, Rasya sering berdalih menyembunyikan resah. Mengapa sukar untuknya melafazkan cinta? Sedangkan bahagia sudah di depan mata?

Sayang sekali... gosip dan fitnah melontarkan jauh cinta mereka. Rasya pergi dengan prasangka. Dia bertindak menerima kasih Fahmi untuk membalas sakit hati. Namun, akhirnya Fahmi melepaskan Rasya yang masih suci. Tetapi Rasya malu untuk kembali kepada lelaki sejujur Reeza. Dia sengaja menghilangkan diri agar jejaknya tidak dicari. Tetapi dunia yang luas ini tidak mampu memisahkan mereka.

Pertemuan yang tidak diduga merapatkan kembali sisa cinta yang hampir padam. Tapi redhakah dia melukakan hati Hilda, tunangan Reeza? Kali ini Rasya tekad! Cinta Reeza harus direbut dan dimiliki!

Cinta Pertama - Norhayati Berahim


Dia lelaki tampan yang mempunyai segala-galanya. Namun dia juga insan biasa yang punya kekurangan. Dia tidak sesekali percaya pada cinta. Bagi dia cinta suci hanya sekadar omongan yang tidak pernah menjadi kenyataan. Baginya, mana ada perempuan yang setia, mana ada perempuan yang suci cintanya. Selagi kesan luka masih terasa, masih kukuh menampar ingatan, dia lebih senang sendirian. Tidak disakiti dan menyakiti. Secantik mana gadis yang hadir, rasa cinta tetap asing dalam hatinya. Tapi sampai bila dia mampu mengasingkan cinta dengan dirinya. Lantas, ketika hadir seorang gadis yang penuh pengertian dan kejujuran, tercuit jua tangkai hati dan perasaan. Apakah akan dibiarkan igauan lampau menguasai diri hingga rasa cinta yang mula bertunas tidak sempat dinikmati... atau memberi ruang pada cinta yang pertama kali mengetuk hati? Dia keliru, adakah ini yang dinamakan cinta pertama... terseksa dalam keindahan?

Air Mata Kasih - Norhayati Berahim


Tragedi 40 tahun duu telah meninggalkan bayangan hitam dalam hidup Fakrulrazi. Kerana tingkah seorang perempuan, dia menyimpan dendam pada perempuan. Baginya, perempuan sering mendatangkan bencana. Oleh itu timbul diskriminasi antara anak lelaki dan anak perempuan dalam keluarganya. Dan dia sendiri amat memusuhi anak perempuannya Farah Diba, sedangkan gadis itu tidak bersalah. Malah dia cuba menafikan kewujudan gadis itu dari pengetahuan rakan-rakan bisnesnya.

Farah Diba, cekalkan hati untuk menghadapi kebencian bapanya. Dengan air mata, dia meneruskan kehidupannya tanpa kasih sayang dan perhatian lelaki itu. Sebagai magsa sebuah dendam, dia mahu membuktikan bahawa anak perempuan juga punya hak dan berhak!

TUHAN menurunkan 'petunjuk' bila Fakrulrazi dan anak lelakinya Fuad serta Farid hilang di Whitsunday Island, Australia. FAS Holdings milik Fakrulrazi menjadi rebutan rakan dan saudara mara. Akhirnya, Farah Diba terpaksa menerajui syarikat itu. Tanpa dendam, benci atau sakit hati, dia melonjakkan nama syarikat itu di mata korporat. Namun, usahanya itu tidak berpanjangan bila Fakrulrazi kembali.

Dimankah Farah Diba selepas ini?
Adakah dendam itu terus menjadi hitam?
Hanya lelaki itu yang dapat menjawab persoalan ini!

Bisikan Rindu - Mimie Afinie


Antara Shahrul dan Ikhwan kedua-duanya sama kacak sama baik. Jika di hati tiada rasa cinta salah seorang harus berkorban. Jika mulut berkata sayang sedangkan hati berkata tidak, untuk apa sebuah percintaan? Sekuat manapun cinta shahrul kepada Dina, hatinya tetap milik Ikhwan. Kehadiran Ikhwan mengajar Dina erti sebuah rindu. Sehari tidak berjumpa ibarat setahun lamanya. Namun percintaan mereka sering diuji dengan salah faham dan kebetulan. Akhirnya Dina mengalah. Perginya bukan kerana kala, tetapi pergi mencari harga diri yang dicampak oleh lelaki yang amat dicintai. Kerana cinta itu Dina sanggup tinggalkan Ikhwan dan segala-galanya... Setelah agak lama menyepi, Dina nekad ingin kembali. Sayangnya kepulangan Dina dalam keadaan yang tidak terduga! Tiada kata maaf tiada pelukan mesra. Yang ada hanya tangisan. Gembira atau duka?

Cintamu Di Hati - Aida Adriani


Kata orang... kita boleh jatuh cinta dalam sekelip mata tapi untuk melupakannya hampir sepanjang hayat. Sememangnya, cinta pertama terlalu sukar dilupakan. Meskipun tidak berakhir dengan satu ikatan suci, namun kenangan itu tetap utuh di hati, terpahat teguh di sanubari.

Seri terperangkap antara dua perasaan; cinta suci seorang lelaki dan cinta sejati kekasih lama. Keteguhan hatinya terduga apabila Zulfy semakin dekat padanya. Setiap waktu bersama Zulfy meletakkannya dalam kemelut perasaan. Kenangan cinta pertama mereka kembali memburu hingga mengundang cemburu Azlan. Dalam melawan arus asmara terlarang, kesetiaan Seri terus-terusan diragui.

Takdir ALLAH tiada siapa dapat menghalang, ujian datang tiada siapa dapat menduga. Seri terus tabah menghadapi segala rintangan dalam mencari bahagia yang hilang. Jalan yang dilalui tetap berliku. Bahagia yang dicari ibarat fatamorgana. Ada waktunya dia hampir mengaku kalah dengan takdir. Ada saatnya dia hampir tersungkur dalam mencari sejalur sinar.

Hari berlalu... dan dalam pencarian itu, hatinya sering berkata, milik siapakah cinta ini? Masih adakah cinta kedua buatnya?

Jangan Ada Dusta - Sri Diah


Sharifah Ezreen menyintai Adi Putera, tetapi lelaki itu tidak boleh digantungkan harapan untuk dijadikan suami. Wajarkah dia mengendong dosa semata-mata hendak menjadikan cinta itu suatu realiti? Rasa cinta yang subur itu mesti dimatikan tiba-tiba. Segala denyut kasih dan sayang itu mesti dibunuh segera. Mesti!

Melissa Laila pula menyintai abang tirinya sendiri, Adi Fitri. Tetapi di masa yang sama dia juga menyintai Budi Djauhari. Bagi Budi Djauhari pula, di mana akan dia letakkan perasaan cinta Lydia Susanti Hartomo terhadapnya? Mestikah dia menjadi petualang dalam episod cinta tiga segi itu?

Datin Saerah yang dulunya `si kucing Parsi’ sudah bertahun-tahun menjadi wanita yang sedar diri, tahu maruah, tahu dosa dan pahala. Namun dugaan yang datang dalam hidupnya bagaikan tidak mahu surut. Narimah adalah duri yang mencucuk-cucuk dagingnya. Dia tidak mahu kalah! Dan Datuk Syed Syamim masih lagi mampu tersenyum!

Sutera Kasih - Sirhan Ansari


Kata pujangga Hamka, cinta manusia melalui beberapa pintu. Ada pintu kasih, pintu sayang dan pintu rindu. Tetapi cinta yang paling abadi ialah cinta yang melewati pintu simpati. Benarkah?

Nurul Azwa menoktahkan zaman remajanya dengan memilih Faris sebagai suami. Dalam melayari gelombang kasih, dugaan datang melanda. Sejak disahkan kedua-dua buah pinggangnya tidak berfungsi dan tidak mampu memberikan zuriat, dia menarik diri. Jujur diakui, saat itu seakan lenyap semua harapan dan semangat. Namun, wanita cekal ini masih ada akal, ada perasaan dan juga iman. Dia menerima hitam putih kehidupan ini sebagai ketentuan yang telah tersurat. Hidup mesti diteruskan!

Faris memulakan kehidupan barunya dengan Syima. Kuasa ALLAH... Syima mengetahui kisah penderitaan Azwa apabila terbaca diari suaminya. Atas dasar kemanusiaan dan simpati, Syima nekad, wanita berhati luhur itu perlu dibantu. Tetapi... mereka tidak pernah bertemu, jauh sekali mengenali hati budi masing-masing. Hanya yang dia tahu... andai cinta itu satu pengorbanan, dia juga perlu berkorban meskipun ada hati yang teruji, ada hati yang terluka.

Perjalanan hidup ketiga insan ini masih jauh, pelbagai kemelut terus menanti. Dalam sabar Azwa, adakala terasa bahang derita. Dalam bahagia Syima, ada bersilih duka. Dan dalam tenang Faris, sesekali kesal datang melanda. Pun begitu, mereka terus berjuang untuk menikmati kebahagiaan. Dan setelah sekian lama berdoa... terleraikah kekusutan, termakbulkah impian? Yang pasti... diari duka silam ini perlu dinoktah, derita ini perlu ada penyudah!

Tiada Lagi Mimpi - Sharifah Abu Salem


Kemunculan semula Norseha memerangkap kembali Razif di dalam dilema. Kehadirannya sungguh menyeksa, sungguh mendera. Razif tidak mampu menanganinya sendirian. Mujurlah, Badrul tampil menawarkan pengorbanan demi menjaga maruah keluarga.

Prasangka Norjinah terhadap kejujuran suami, tanda tanya dan teka-teki yang menyelubungi akhirnya terbongkar jua. Kenyataan itu juga membunuh seluruh kepercayaan dan cintanya kepada Razif. Dia berasa kebahagiaan yang dinikmati selama ini terbina dari kepalsuan dan pura-pura. Dunia Norjinah seakan berakhir di situ sahaja.

Norseha... permulaan sebuah sengketa. Rumah tangga kakak sendiri goyah gara-gara kehadirannya. Bukan godaan dan tagihan cintanya yang membuatkan semua berprasangka. Tetapi, Razif dan Norjinah saling berahsia kerana dirinya. Persoalan hanya terjawab apabila realiti terbongkar di depan mata. Namun, siapakah yang harus dipersalahkan apabila rahsia bukan lagi menjadi rahsia?

Siapakah pula yang harus mengalah apabila kepahitan bukan lagi mimpi melainkan kenyataan yang sukar ditelan? Dapatkah Razif dan Norjinah mempertahankan kebahagiaan? Dan, timbulkah keinsafan Norseha apabila diri sehina sampah terbuang yang terbiar di jalanan?

TIADA LAGI MIMPI membongkar episod luka sebuah keluarga, gara-gara kemungkaran dua insan yang tidak mengenal dosa dan pahala...

Tak Semanis Impian - Sharifah Abu Salem


NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”

NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”

RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”

Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.

Tak Seindah Mimpi - Sharifah Abu Salem


Kekosongan jiwa Razif bagaikan terisi melihat kemesraan orang gajinya, Norjinah melayani kerenah anak-anaknya. Norjinah bagaikan sinar yang membawa cahaya bahagia dalam hidup Razif. Dia hampir dapat melupakan kekecewaan setelah ditinggalkan isterinya yang curang, Salmi.

Namun, segala-galanya berubah apabila Razif menerima Salmi semula yang lumpuh akibat kemalangan. Bermula detik itu, Norjinah benar-benar belajar erti sebuah kehidupan. Demi masa depannya, dia kumpulkan segala kekuatan, kesabaran dan memberanikan diri menghadapi segala dugaan dengan hati yang tabah.

Razif pula berperang dalam kemelut rasa kasih, sayang, cinta dan simpatinya yang menuntut sebuah pengorbanan. Apakah yang mendorong ketiga insan ini begitu tekad menentang arus, melupakan kepedihan dan berani berhadapan dengan kenyataan meski pun ada hati yang tercalar luka?

Sesungguhnya, ajal maut, jodoh pertemuan di tangan TUHAN. Tak Seindah Mimpi sebuah karya yang kaya dengan nilai kasih sayang dan kemanusiaan. Suatu rentetan perjalanan hidup yang sesuai dijadikan ikhtibar di samping menginsafi bahawa adakala hidup ini tidak seindah yang diimpikan.

Pesona Rindu - Sharifah Abu Salem


RINDU bertandang ketika masing-masing didakap kesepian. Fazlan ditinggalkan Darina, isteri yang obsesi terhadap cinta, cita dan impian. Najmah pula memutuskan pertunangannya kerana tidak menyintai jejaka pilihan keluarga. Keputusan Najmah mengundang sengketa. Dia terpinggir dan kepulangannya tidak diharapkan.

Fazlan hadir memberi kedamaian. Persahabatan bertukar menjadi kekasih. Najmah menyangka yang dia hanya menghormati Fazlan sebagai majikan. Namun cinta di hatinya kian berputik biarpun dia tahu Fazlan adalah suami sahabat baiknya sendiri.

Selepas lima tahun di luar negara, Darina kembali semula. Ternyata cintanya terhadap Fazlan masih ada. Bagaimana harus Fazlan menerima Darina semula? Sedangkan dalam masa yang sama cintanya terbahagi dua untuk Najmah juga. Lalu Fazlan merahsiakan perkahwinan itu.

Najmah diburu rasa bersalah. Dia telah mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh Darina untuk menjaga Fazlan. Bagi Najmah, cintanya hadir hanya sementara. Tidak lebih dari sebuah pesona.

Fazlan dalam dilema, siapakah yang lebih dicintainya? Najmah ataupun Darina? Namun bagi Fazlan, dia tidak rela kehilangan kedua-duanya sekali.

Kasihku Abadi - Shanika Latisha


Wana yang pernah putus tunang menyerahkan soal jodoh pada keluarganya. Antara rela dan terpaksa, dia menerima Risyam sebagai suami. Rumahtangga mereka diserikan dengan sepasang anak kembar Rayyan dan Ranis. Ternyata, pilihan keluarga juga membuahkan cinta dan bahagia.

Kegembiraan mereka dirampas bila Risyam disahkan mengidap HIV positif akibat pemindahan darah. Risyam yang amat kecewa menganggap ini sebagai malapetaka. Namun, Wana dan seluruh keluarganya memberikan sokongan moral agar Risyam tabah meneriskan hidup.

Konflik antara Wana dan Risyam terjadi dengan kemunculan Haiqal, bekas tunangan Wana. Lelaki itu cuba menggoda Wana agar kembali ke pangkuannya. Dengan cara halus, dia memporakperandakan rumahtangga Risyam dan Wana. Namun, keimanan suami isteri ini yang sabar, berjaya menangkis kejahatan manusia.

Dalam doa ada harapan, dapatkah mereka terus menyulam kasih?

Zuriat - Norzailina Nordin


Novel kisah benar ini menggarapkan pahit maung kehidupan keluarga Mohammad dan Kamariah dari Kota Bharu. Segala-galanya bermula bila Amree, anak kedua pasangan ini yang berusia sembilan tahun disahkan menghidap MLD, sejenis penyakit genetik yang boleh membawa maut pada tahun 1992.

Tidak lama kemudian, Maslina anak sulung mereka pula didapati berpenyakit serupa. Ujian darah juga dibuat ke atas tiga orang lain, iaitu Affizal, Affandi dan Marhaini. Apakah hasilnya? Alangkah tergurisnya perasaan Mohammad dan Kamariah apabila mengetahui kesemua anak mereka bakal menghidap penyakit yang sama.

Hati mana yang tidak belas melihat penderitaan anak-anak yang cacat fizikal dan mental? Pasangan suami isteri itu sering berdoa supaya dikurniakan ketabahan. Namun dugaan datang menimpa lagi. Kamariah pula dibedah kerana mengalami ketumbuhan otak pada tahun 1994.

Dalam pada itu, Pakar Kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, memberitahu mereka tentang kaedah pemindahan sum-sum tulang untuk menyelamatkan Affandi dan Marhaini. Malangnya, usaha untuk ke Minnesota, U.S.A. itu menemui pelbagai rintangan birokrasi. Demi anak-anak yang dikasihi, pasangan suami isteri itu tidak pernah berputus asa. Mereka terus berjuang dan usaha mereka telah mendapat liputan meluas di media massa seluruh negara.

Di tengah-tengah kemelut untuk mencari ubat penawar anak-anak mereka, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kematian Maslina pada tahun 1996. Kesedihan bertimpa lagi kerana keadaan Amree yang semakin daif. Pada masa yang sama, kecacatan Affizal semakin mencengkam hidupnya. Mereka menjadi bertambah runsing memikirkan hal itu. Kecekalan semangat dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Mohammad dan Kamariah dalam menjaga anak-anak yang cacat begitu dikagumi. Hayatilah bagaimana perjuangan seorang ibu dan ayah dalam menghadapi kerenah anak-anak mereka dalam Zuriat ini hinggakan membuat anda tidak kering air mata untuk menghabiskannya.

Hati Seorang Wanita - Norhayati Berahim


Dia dilahirkan diluar kemahuan ayah dan ibunya. Namun, dia pasrah dengan ketetapan ILAHI walau dendam terus menghuni di hati. Perkahwinan yang diatur kiranya tidak menjanjikan apa-apa. Bagi dia, suami milik isteri yang abadi. Mesti dikasihi sepenuh hati. Rupa-rupanya tidak ada apa yang dapat dipegang pada janji manis seorang lelaki.

Sekian lama mencari di mana harga diri, di mana kesilapa diri, dia bangun semula bersama tekad di hati. Meski disingkir, meski diuji, namun jiwanya tak pernah mati. Bahagia mesti dicari, peristiwa pahit mesti dilupai kerana hati wanitanya percaya, esok masih ada cahaya, masih ada sinar bahagia.

Nota Cinta Buatmu - Norhayati Berahim


Perpisahan... terlalu sukar rasanya membuat keputusan. Namun kerana harga diri, kerana kasih sayang, Johanna rela berkorban. Biarlah dirawat hati yang luka, biarlah dilalui hari-hari mendatang tanpa suami di sisi. Pergilah Dihrran, carilah kebahagiaan, carilah kasih sayang yang kau perlukan.

Hidup siapa yang menduga, Johanna dipertemukan dengan Graham. Lelaki yang tidak percaya kewujudan agama dan Tuhan. Namun, lelaki itu lelaki istimewa, lelaki yang sering mengerti, lelaki yang paling cepat memahami. Hati yang luka diubati, jiwa yang kosong kini terisi.

Kalutnya rasa bila cinta datang kali kedua, perlukah diusir atau perlukah dibiarkan menghuni dalam hati. Cuma ketika cinta datang semula, Dihrran yang pernah membuangnya dahulu datang menagih hati, menagih simpati!

Hatinya sudah nekad, apa yang berlaku, biarlah berlalu. Dihrran perlu diajar untuk menghargai, untuk menghormati. Dia bukan wanita yang mudah dibuang dan diambil kembali.

Ahh... cerita luka... duka dan cinta ini perlu ada kesudahannya!

Kau Yang Satu - Nia Azalea


Bot milik peribadi Datok Mustaza telah karam dipukul ombak sewaktu dia keluar memancing di Laut Cjina Selatan. Nasibnya baik, dia telah diselamatkan oleh seorang nelayan bernama Sulaiman. Datuk Mustaza terhutang budi dengan Mustaza dan ingin menjodohkan anaknya Taufik dengan Salina anak Sulaiman.

Taufik tidak setuju denagn cadangan papanya kerana dia telah mempunyai kekasih bernama Isabella, model terkenal tanahair. Manakala Salina pula telah mempunyai teman lelaki bernama Zulkifli, anak ketua kampung.

Namun segala impian mereka tidak tercapai. Masing-masing terpaksa akur dengan pilihan orang tua. Taufik menuduh papanya kolot kerana masih terikut-ikut cara orang lama mencari jodoh. Salina pula terpaksa putus dengan Zulkifli.

Bahagiakah perkahwinan Taufik dan Salina? Dapatkah mereka melayari bahtera bersama?

Seredup Kasihmu - Nia Azalea


KISAH silam Lea Haryani sentiasa menghantui hidupnya. Lea Haryani dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan kedua orang tuanya. Setelah ibunya meninggal dunia, Mak Longnya, Sutinah memeliharanya sehingga dewasa.

Lea Haryani tidak begitu senang dengan sikap Mak Longnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Lea Haryani tidak menyenangi hati Mak Long. Ada-ada sahaja kesalahan yang dicari. Bukan itu sahaja, Mak Long juga suka mengungkit asal-usul keturunan menyebabkan Lea Haryani terasa kerdil untuk berhadapan dengan masyarakat.

Setelah dewasa dan berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, sikapnya yang pasif terbawa-bawa hingga ke universiti. Di universiti dia tidak mempunyai kawan rapat melainkan kawan sebilik bernama Suziyan.

Emir Safwan yang satu kuliah dengan Lea Haryani cuba menggodanya tetapi tidak dilayan. Pelbagai cara dilakukan oleh Emir Safwan untuk memikat hati Lea Haryani namun tidak berhasil. Dengan bantuan Profesor Halim, akhirnya Lea Haryani dipertemukan dengan Emir Safwan.

Mama Emir Safwan tidak berkenan dengan Lea Haryani dan menyuruh anaknya itu memilih Syamen, anak Datin Jawaher. Emir Safwan tetap dengan pendirian memilih Lea Haryani. Akhirnya berlakulah konflik. Lea Haryani mengalah dan menyuruh Emir Safwan akur dengan pilihan mamanya. Emir Safwan tidak boleh terima kerana hatinya benar-benar mencintai Lea Haryani. Berjayakah Emir Safwan memujuk hatinya yang telah terluka untuk menawan hati Lea Haryani kembali? Berapa mahalkah harga yang harus dibayar untuk satu kemaafan?

Pelabuhan Kasih - LiLi Suriani


Fatin Nabilah gadis sederhana yang jauh dari kehidupan sosial. Pelajaran adalah tunggak utama dalam hidupnya. Dia juga berpegang teguh pada prinsip; lelaki pertama yang keluar dengannya akan dipastikan menjadi suaminya.

Perkenalannya dengan Azril Adam, teman sekampus telah menerbitkan bibit-bibit cinta yang tidak diduga. Azril menjadi lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya. Kehadiran lelaki itu membuatkan hidupnya semakin ceria. Malah, dia redha menerima sikap panas baran Azril yang sering menyakiti hatinya atas prinsipnya bahawa lelaki itulah bakal teman hidupnya!

Perkahwinan yang dibina ibarat retak menanti belah. Tidak tahu di mana silap, Fatin sering menjadi mangsa cemuhan Azril. Akhirnya, Fatin terpaksa akur bahawa prinsipnya itu harus dicampak jauh. Azril ditinggalkan setelah menjadi saksi pernikahan kedua suaminya dengan Nadira. Fatin pergi bersama dua anaknya dengan hati yang terluka.

Cinta pertama memang indah. Tapi tidak bermakna cinta yang datang selepas itu, tidak sehebat cinta pertama. Kehadiran Fazil yang begitu setia, disambut baik oleh Fatin. Biarpun penantian itu satu penyeksaan, tapi jika yang diidamkan akhirnya menjadi nyata, dia rela menunggu biarpun beribu tahun.

Akhirnya, sauh kasih Fatin berlabuh jua. Kali ini di pelabuhan cinta Fazil. Semoga kesetiaan Fazil tetap utuh selamanya, biarpun badai sentiasa bergelora.

Kisah Kasih - Kreisya Reisya


Puteri Farahdika, seorang gadis menawan telah berjaya memenangi hadiah utama pertandingan 'The Search Of Cinderella' yang berupa pakej penginapan mewah hotel lima bintang di Kuala Lumpur. Dalam pesta tari menari majlis itu, Farah telah terserempak dengan Radzi, bekas kekasihnya. Kerana panik dan marah, Farah lari hingga tercicir sebelah kasutnya.

Tidak lama kemudian, seorang ahli perniagaan, Naim telah melamar Farah. Gadis itu meletakkan syarat agar lelaki itu mencari sebelah lagi kasutnya sebelum lamarannya diterima. Syarat lamaran itu pelik dan menimbulkan kemarahan ibu Farah. Akhirnya Naim menarik diri.

Dalam pada itu, Syah E, seorang kenalan telah lama jatuh hati padanya. Dengan Syah E pun, Farah meletakkan syarat bahawa lelaki itu tidak boleh menghubunginya dalam tempoh setahun.

Setahun bukan sekejap. Dapatkah Syah E setia memendam rasa yang bergelora di jiwa? Apakah Farah dapat menanggung perasaan rindu yang tiba-tiba bertandang dihatinya?

Sesungguhnya syarat itu menyeksa kedua-duanya. Namun ia telah memercikkan api cinta.

Fitrah Kasih - ILani Mysara


MURNI ditakdirkan lahir sebagai anak yang tidak suci atau lebih tepat lagi hasil daripada perbuatan sumbang mahram. Walaupun kehadirannya tidak dipinta, namun ujian ALLAH dia rela menerimanya. Hidupnya setiap hari dihiasi dengan cacian dan hinaan. Lantas, pada siapa dia harus mengadu? Sebagai manusia yang punya perasaan, hatinya sentiasa merintih pedih.

Darahnya dikatakan kotor dan keturunannya dianggap tidak baik untuk dijadikan menantu. Disebabkan itu, dia terpaksa melupakan rasa cinta yang mula berputik di jiwa. Dengan memegang status sebagai anak tidak sah taraf, dia sering menghumban dirinya ke lembah yang paling hina. Biarlah... dia rela berkorban andai itu suratannya.

Seandainya dia memang tidak layak untuk mengecapi bahagia, mengapa dirinya difitrahkan cinta? Kalau darah ini tidak serupa yang halal, mengapa ada cinta senandung di hati? Biarlah... buat apa hendak diharap burung yang terbang kalau diri merayap di bumi.

"Shah... Apa yang aku buat sekarang adalah sebagai pengorbanan. Aku terpaksa, Shah. Aku gadai cinta aku semata-mata demimu. Ketahuilah, walau apa jua yang berlaku, hati ini tetap milikmu. Aku berharap suatu hari nanti, kau ketemu jodoh yang lebih baik."

Bacalah demi satu keturunan yang bakal anda cipta.

Seindah Memori - ILani Mysara


Kalau benarlah cinta itu lahir dari hati yang suci dan rela berkorban deminya, mengapa tidak ke jinjang pelamin pengakhirannya? Kalau benarlah cinta itu dari jiwa yang ikhlas, kenapa ada yang ternoda kerananya? Itulah lumrah cinta manusia. Dicintai dan mencintai tidak pernah padam walaupun sering dipersendakan oleh kerenah manusia. Begitulah kehidupan Dayang yang penuh dengan kemelut cinta. Kali pertama dalam hidup, dia menghadapi dugaan cinta yang sungguh mencabar. Nak ditelan seperti pahit, nak dibuang tak sampai hati. Ungkapan ÔAku cinta padamuÕ mengajarnya erti reda dan pasrah. Dugaan dan ragam takdir sentiasa bergerak seiring dengan lafaz janjinya. Akhirnya, memporak-perandakan seluruh sendi kehidupannya. Cinta dua darjat antara Dayang dan Syed Iqbal menguji penantiannya. Namun kerana satu janji, biar datang ribut taufan sekalipun, cintanya tetap dipertahankan walau Iqbal terbang tinggi di langit dan dia hanya melata tumbuh di bumi. Sesungguhnya pertarungan merebut cinta Iqbal memerlukan ketakwaan dan ketabahan sebagai syarat! Kerenah takdir juga menyaksikan dirinya terlibat dalam cinta tiga penjuru. Cinta yang memusnahkan tiga kasih, tiga perasaan dan tiga hati. Kesemuanya menuntut pengorbanan dan air mata. Seorang harus melupakan dan seorang lagi harus dilupakan untuk memberi ruang pada orang ketiga. Siapa antara mereka yang ketawa gembira dan siapa pula yang akan merintih hiba?

Demi Kasih - Hasreeyati Ramli


Bijak pandai pernah berkata, cinta boleh bertukar menjadi benci tetapi persahabatan itu akan kekal buat selama-lamanya.Benarkah?

Sekian lama menyemai kasih, keakraban Iriana dan Mukhriz dimeterai dengan ikatan. Andai diibaratkan tinggi bintang di langit, tinggi lagi impian di hati. Sungguh, cinta mereka bukan sandiwara. Tiada apa yang bisa menjadi galang ganti.

Tetapi entah di mana silap, bahtera kasih mula dilanda badai. Satu demi satu rahsia terbongkar. Ribut melanda, taufan bergelora. Tembelang pecah, retak menanti belah. Konfik demi konflik mencabar keimanan. Tambah rumit, lantaran seorang pemarah, seorang perasa.

Saat itu, dunia Iriana bagaikan mahu runtuh, langit menjadi gelap dan bumi bagaikan mahu retak. Sekian lama bersabar, akhirnya dia nekad. Nekad untuk mengembalikan harga dirinya di atas nama sebuah kesetiaan. Mungkin salahnya juga selama ini, terlalu lurus bendul. Terlalu alpa, hinggakan kepercayaannya dikhianati dan akhirnya dia terluka sendiri.

Begitu pun, atas nama kasih... sengketa ini bukan penamat kisah. Sebaliknya, gelora cinta baru saja bermula. Dan di saat inilah terdetik di hati Iriana, pesanan orang tua wajar dipertimbangkan. Sebelum mengangguk sudi menerima lelaki, sematkan di hati bahawa percintaan itu ibarat percaturan, terlalu banyak rintangan yang tidak disangka akan terjadi!

Sukma Rindu - Fariza Zuliana


Pertemuan Dianza dan Azril adalah suatu kebetulan yang indah. Namun, kerana merasakan diri tidak pantas untuk bercinta, mereka membiarkan diri memendam rasa. Masing-masing terpisah membawa arah sendiri, tanpa kata kepastian. Antara sahabat dan kekasih. Persahabatan dan percintaan.

Bumi kampus telah menemukan Dianza dan Fredie. Dalam diam, ada rasa kasih yang bertunas. Rindu bertandang bila berjauhan, namun bukan mudah untuk mendapat kata pasti daripada seorang lelaki bernama Fredie. Lalu, Dianza membiarkan hari-hari berlalu dengan seribu harapan yang menanti.

Cabaran datang menduga, Dianza bertemu dengan Azril semula. Pertemuan yang memaksa dia membuat pilihan. Perlukah dinanti kasih Fredie atau menerima Azril hanya kerana simpati? Dan di tangan Dianza, ada segala jawapannya.

Kau Sayangku - Bikash Nur Idris


KAU SAYANGKU mengisahkan seorang gadis yang pada zahirnya seorang yang periang, tapi di sebalik gelak ketawa, senda guraunya, tersimpan satu kisah yang agak pahit untuk ditelan. Adik kembarnya telah pergi bersama cinta yang tidak kesampaian dan keluarganya telah dibenci oleh ibu saudaranya sendiri.

Kehadiran Eddy Sham dan Akif Zamani telah mengocak jiwa remaja Arisa. Kedua-duanya mempunyai personaliti yang menarik dan berkarisma. Mereka mempunyai impian yang sama iaitu ingin memberi dan menerima cinta. Tapi sayang... satu hati hanya berhak untuk satu jiwa. Lantaran, Eddy Sham terpaksa mengalah dan membiarkan Akif zamani meraikan kemenangan cintanya. Sayang sekali... di saat cinta sampai ke puncak, sesuatu yang tidak diingini terjadi. Redhakah Akif menerimanya? Berjayakah Arisa mempertahankan cinta sedangkan nasib cintanya di tangan orang lain?

Ria Qistina - Bikash Nur Idris


Cinta sememangnya wujud dalam diri setiap insan. Sesekali akal waras manusia lupa akan hakikat itu. Semuanya kerana dendam, sakit hati dan benci akan kenyataan yang terpaksa dilalui.

Ria Qistina seorang remaja tomboy yang telah kehilangan kasih sayang daripada keluarganya sejak kecil lagi. Pengalaman pahit yang pernah dilalui menghambatnya ke dunia ciptaan sendiri. Dendam membuatkan Qistina membenci cinta dan kasih-sayang seorang lelaki. Baginya, cinta itu pemusnah dan pembunuh kehidupannya. Seboleh mungkin, dia ingin menjauhkan diri dari perasaan itu. Namun, kemunculan Fadzli sekali lagi menambah deritanya. Salahkah seseorang itu andai mengorbankan cinta demi kasih pada ibu tercinta? Wajarkah dia menurut kata hatinya sendiri?

Kehadiran Zarif mengundang kekeliruan dalam diri Qistina. Zarif dengan egonya, Qistina bersama dendamnya terhadap cinta lelaki. Keduanya dipertemukan tanpa dirancang. Mampukah mereka berubah? Apakah Qistina akur dengan hakikat 'setiap manusia sememangnya dilahirkan dan dianugerahkan dengan perasaan cinta?'

Sambutlah Cintaku - Bikash Nur Idris


Pertama kali bertemu Aiman, Datul menganggap lelaki itu tidak sesuai memegang jawatan sebagai pengarah urusan di Iman Holding, syarikat milik ayahnya.

Di pejabat, mereka sering tidak sependapat dalam tugas. Kata mengata dan benci-membenci merupakan senjata untuk mereka bersengketa. Akhirnya, tanpa diduga, Aiman cintakan Datul dan Datul rindukan Aiman.

Masalah timbul bila Amir juga jatuh hati pada Datul tanpa mengetahui gadis itu adalah kekasih abangnya. Aiman bersedia mengundur diri untuk kebahagiaan adiknya. Tapi cinta Datul tidak mungkin ditukar ganti.

Atas desakan keluarga, perkahwinan Aiman dan Datul dilangsungkan. Aiman bertindak menjauhkan diri dari Datul kerana rasa bersalah melukakan perasaan Amir. Sebagai isteri, Datul tertekan dengan sikap Aiman dan bertindak membawa diri.

Ternyata Cinta - Damya Hanna


PENGALAMAN mengajar erti kedewasaan. Begitulah ibarat hidup Qasdina, tonggak harapan keluarganya. Dalam meniti usia remaja, dia bagaimanapun tidak dapat menolak hakikat yang dia juga punya cita-cita untuk digapai. Namun, demi adik-adik yang masih bersekolah dan ayah yang dibebani hutang, impian itu terpaksa dilupakan buat sementara waktu. Dia sebaliknya kini punya misi yang tersendiri! Memburu lelaki kaya!

ZARIEL - Lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatian. Kacak, mewah dan romantis! Itu ciri-ciri kesempurnaan yang perlu ada pada lelaki idamannya. Tetapi Zariel tidak seperti yang disangkakan. Lelaki itu terlalu ego sehingga menjengkelkan hati nuraninya.

IQRAM - Kehadiran lelaki ini kerap kali mengganggu emosi. Qasdina jadi rimas sendiri! Tiada langsung kriteria lelaki pujaannya, namun peribadi Iqram yang penuh rahsia dan kesederhanaan sifatnya berjaya meruntun hati si gadis.

Ternyata, cinta itu terlalu indah. Namun, dia juga sedar hanya kejayaan menggapai cita-cita bakal melengkapkan kehidupannya. Jadi, mampukah dia mengorbankan impiannya demi cinta? Ikutkan hati, dia ingin memiliki kedua-duanya sekali! Dan dia tahu yang dia berhak kerana kebahagiaan itu adalah milik setiap insan. Cuma yang pasti, ketentuan ILAHI tetap membatasi segala.

Sepi Tanpa Cinta - Damya Hanna


HAZIQAH mempunyai impian untuk hidup bahagia di samping Yusri. Namun, tiada siapa menyangka di saat hari bahagia itu bakal menjelma, ada yang membuat onar sehingga kesucian dirinya dipersoalkan. Lantaran itu, pelamin angannya musnah bersama harapan dan hatinya hancur umpama terhempas!

Namun, Haziqah nekad. Majlis perlu dilaksanakan. Yang penting, fitnah dapat ditamatkan. Biarpun Fakrul tidak pernah dicintai, dia rela asalkan kesucian dirinya dapat dibuktikan. Tetapi malang, perkahwinan yang tercipta itu hanya menambahkan penderitaan yang sedia tergalas di bahu. Dia dikeji dan digantung tak bertali!

Bagi Fakrul, cintanya bukan untuk Haziqah tapi masih untuk Azura. Gadis pertama yang dicintainya... tetapi kecurangan Azura menambahkan kebenciannya kepada Haziqah. Dia benci pada perempuan yang tidak setia. Namun, pertemuan kedua antara Fakrul dan Haziqah membuatkan dia mula yakin bahawa Haziqah adalah miliknya. Bukan Yusri mahupun Hafiz... sepupunya.

Mampukah Haziqah menyambut huluran cinta Fakrul setelah dirinya puas dihina? Haziqah tidak mahu pisang berbuah dua kali! Baginya, kedukaan lalu masih bertapak utuh di hatinya. Cukuplah sekali...

Bicara Hati - Damya Hanna


DALAM satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu. Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintai.

Seminggu mengenali Zahlia, Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda. Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran. Tengku Syahran tidak dikenali dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.

Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu. Pelbagai cara dilakukan oleh Tengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia. Akhirnya Zahlia akur tetapi dengan syarat, iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.

Setelah diijabkabul, Tengku Syahran mula berubah. Egonya terlalu tinggi dan dia tidak mengikut penjanjian yang telah ditetapkan. Zahlia rasa tertipu. Tengku Syahran telah mungkir janji. Kini timbul pelbagai konflik dalam rumah tangganya.

Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih, sayang dan kerinduan? Bicara Hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia.

Adam & Hawa - Aisya Sofea


AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya. Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.

Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu.

Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...

Buatmu Kekasih - Aisya Sofea


Novel yang memuatkan lima novel terdahulu beliau ini merupakan titik sambungan dengan melakarkan sebahagian watak-watak yang pernah dicipta oleh Aisya Sofea.

Tahun berlalu... kini Ika, Farah, Umairah, Kay dan Intan sedang meniti alam kedewasaan. Walau jauh di sudut hati mereka mengharapkan kebahagiaan, namun yang terluka ada perasaan yang tersentuh, ada hati yang merana. Namun, dengan kekuatan kasih sayang, segala dugaan cuba diatasi sebaik-baiknya.

Buatmu Kekasih menggambarkan betapa akrabnya kita dengan watak-watak dalam karya terdahulu hingga merasakan bahawa mereka turut menghirup udara yang kita hirup, tinggal di bawah langit yang sama dan juga berlampukan sinaran bulan yang satu.

Gelora Jiwa - Aisya Sofea


Siapa kata setia tak mungkin berlaku curang? Siapa menduga kasih takkan bertukar menjadi benci? Katakan sejujurnya, bagaimana harus disukat bahagia jika dalam hati Intan Azureen, berkocak dilanda asmara.

Seraut wajah tenang itu, tiba-tiba berubah menyimpan seribu luka. Keluh resahnya sekadar melunakkan hati yang duka. Bagaimana harus dijelaskan; setianya bukan lagi untuk Hanif Azman tunangnya. Tapi, kasihnya sudah berpaling jauh pada Hanif Ashman dalam sekelip mata!

Siapa merampas dan siapa yang dirampas? Siapa yang berhak dan siapa pula yang tak punya hak? Intan Azureen lemas di tengah-tengah kekusutan. Dia harus teguh memegang janji wasiat; membina rumah tangga dengan lelaki pilihan keluarga.

Atas desakan keluarga melawan kehendak hati, dia harus membuat pilihan yang tepat. Hanif Ashman satu mimpi. Hanif Azman pula satu realiti. Tapi mimpi itu juga yang sentiasa membayangi hidupnya. Ah, sukarnya menidakkan takdir sedangkan cintanya hanya untuk Hanif Ashman seorang. Jadi, bagaimana?

Dia tekad, dilema ini harus dinoktahkan. Siapapun yang terpilih, dia akur akan melimpahkan kejujuran sepenuh hati. Tapi, siapakah antara mereka yang bakal mengongsi hidupnya sepanjang hayat?

Jauh - Aisya Sofea


Siapalah yang dapat melupakan tempat kasih bersemi? Sesungguhnya api cinta itu hangat membakar.

Meski telah padam, namun baranya masih ada. Masa dan kejauhan bukan halangan bila jodoh telah ditentukan.

Jendela Hati - Aisya Sofea


Harga kesetiaan seorang lelaki bernama suami begitu mahal nilainya pada insan bernama Lukman Hafizi ini. Setelah pemergian isteri tercintanya, Sarah, hari-hari yang dilaluinya tidak lagi seindah semalam. Dia terus hanyut dalam lamunan khayalannya.

Kepulangan Farah, kembar seiras arwah isterinya tidak mampu menggugah selaut kenangan bersama arwah isterinya. Farah pula tersepit dengan wasiat terakhir kakaknya serta dilema perasaannya sendiri. Dia pasrah akhirnya.

Benarkah 'ganti tikar' yang berlandaskan 'keterpaksaan' bagaikan embun di hujung rumput; memakan diri sendiri akhirnya. Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk sebuah pengorbanan? Hayatilah falsafah yang tersirat di sebalik mesej yang tersurat ini.

Kau Untukku - Aisya Sofea


Pertama kali bertemu Nurul Umairah, hati Ahmad Fuad sudah terpaut. Biarpun gadis itu sudah dimiliki, namun perasaannya tidak pernah berubah walaupun terpaksa menyembunyikan rahsia hatinya dalam-dalam.

Bila Jefri, tunang Nurul terkorban dalam kemalangan, Fuad menawarkan kasihnya. Nurul menolak kerana tidak mungkin dia mengalih perasaan pada lelaki lain dalam sekelip mata sahaja. Kebijaksanaan Fuad akhirnya meruntun tembok yang dibina Nurul. Dia akhirnya menerima Fuad tanpa mengetahui rupa-rupanya ada gadis lain sedang menagih kasih lelaki itu semula.

Apakah Fuad akan menyambung semula kasihnya bersama gadis yang tiba-tiba muncul kembali di antara mereka? Mampukah Nurul Umairah sekali lagi kecewa biarpun lelaki itulah yang memulakan percintaan mereka.

Kau Untukku; indah, Romantis dan membuai perasaan. Sentuhan terbaru Aisya Sofea setelah Jauh dan Jendela Hati.

Sehangat Asmara - Aisya Sofea


Kamilia Najwa & Zainal Arief. Pandang pertama mereka memutikkan cinta dan berakhir dengan perkahwinan di London tanpa restu keluarga. Namun, badai asmara mereka sentiasa membakar di sebuah bilik kecil di Oxford dengan janji sehidup semati.

Kebahagiaan mereka tiba-tiba terhenti! Zainal terpaksa pulang ke tanah air dengan janji akan kembali lagi. Sejak itu hingga menginjak sembilan tahun lamanya, Zainal tidak pernah pulang sedangkan Kamilia terus menanti dengan air mata dan sengsara.

Tanpa diduga, Zainal muncul kembali. Datangnya untuk menuntut Misya, anak comel yang selama ini ‘disembunyikan’ oleh Kamilia. Dendam kesumat Kamilia terhadap Zainal tidak pernah padam. Anehnya, ‘dendam rindunya’ terhadap lelaki itu lebih kuat dan mengusik perasaannya.

Benarkah dia membenci lelaki itu? Dan hipokritkah Zainal bila menyatakan hanya Kamilia seorang di hatinya....

Bayangan Rindu - Anis Ayuni


KISAH cinta Iddya yang penuh pahit manis. Cinta pertamanya dengan Baein, teman sekelasnya tidak kesampaian apabila pemuda itu mengalih cinta kepada gadis lain. Biarpun kecewa, Iddya tabah menghadapi dugaan ini.

Pertemuan dengan Lutfi pula melahirkan rasa cinta yang begitu mendalam. Tapi ikatan itu putus di tengah jalan dan menimbulkan konflik kejiwaan pada diri Iddya. Pada Umar Aisy, bekas teman sekolahnya, dia mencurahkan resah gelisah, duka kecewa dan menangis hiba. Lelaki itu sentiasa memujuk dengan kata-kata yang mendamaikan.

Apakah Iddya akan menemui cinta sejatinya selepas ini? Siapakah lelaki yang bertuah itu? Pepatah ada mengatakan; gadis yang baik akan bertemu jodoh dengan lelaki yang baik juga.

Manisnya Cinta - Anis Ayuni



APAKAH nilai sebuah cinta bagi seorang gadis berlesung pipit bernama Ifti Liyana?

Sejak bertahun-tahun, sayangnya pada Fredo tidak pernah melimpah. Nalurinya sentiasa menidakkan, benarkah mereka bercinta? Akhirnya, mereka kian jauh dan lelaki itu membawa haluan sendiri. Dia sendiri pasrah!

Namun, pandang pertamanya dengan Nazmi, memutikkan perasaan yang aneh. Lelaki itu yang sekejap ada dan hilang seperti menyeru-nyeru semangatnya. Dirinya ibarat mengejar bayang-bayang. Namun, keegoannya sering kali menepis kata hatinya. Tetapi bagaimana dengan rindu yang sarat ini?

Berbolak-balik rasa hatinya. Antara keinginan untuk menyayangi dengan rasa pesimis terhadap kejujuran seorang lelaki. Dalam benci ada rindu, dalam sayang dia jadi keliru, apakah Nazmi benar-benar setia pada yang satu?

Ah... sukarnya melafazkan kata maaf bila prasangka hampir meleburkan sebuah impian. Ifti Liyana akhirnya akur, cemburu buta dan hipokrit bukanlah sifat terpuji. Dia mengakui, Nazmi lelaki sejati yang diimpikan selama ini.

Suara Hati - Anis Ayuni


Cinta tidak semestinya bersatu. Terperangkap dalam dilema membuatkan dia terpaksa membuat kepu-tusan. Pilihan ibu dan ayahkah yang perlu dituruti sedangkan jauh di lubuk hati, selaut kasihnya telah tercurah pada Haris, pilihan sendiri.

Hari berganti, bulan berlalu, Haris yang dinanti menghilang tanpa khabar berita. Separuh rela, lamaran Naim terpaksa diterima. Mereka berbahagia. Namun, sayangnya mendung menjelma. Dalam penantian menyambut kelahiran anak kedua, suami tercinta pergi buat selamanya.

Tika duka membadai di hati, terjadilah pertemuan tanpa diduga. Haris yang disangka telah mengalih cinta, ingin kembali dalam hidupnya semula. Sudikah dia menerima lelaki itu sedangkan luka di hati masih terasa. Dan... andai cinta pertama telah di-kecewakan, masih wujudkah cinta untuk kali kedua?