NORJINAH... bahagianya sekejap cuma. Kini, kasihnya bersama Razif digugat orang ketiga. Sekeping kad luahan cinta seorang gadis untuk Razif, meraih air matanya. Benarkah suaminya menjalin hubungan sulit di belakangnya? Apakah ini balasan TUHAN sedangkan dia tidak merampas Razif dari sesiapa! Tapi... siapakah gadis itu?
“Lupakah Abang Razif pada janji kita untuk sehidup semati?”
NORSEHA... bukan kali pertama dia melihat lelaki itu. Tetapi pertemuan kedua ini mengusik perasaannya. Lelaki tampan itu cukup memikat. Apatah lagi layanannya yang romantik dan gentleman pada Norjinah menerbitkan api cemburu di hatinya. Sepatutnya, dia tidak boleh berperasaan begitu. Ah... mengapa harus mengalah pada Norjinah? Dia juga merampas Razif dari orang lain.
“Saya cintakan Abang Razif seperti Norjinah cintakan abang!”
RAZIF... sukarnya melafazkan kata-kata. Jika boleh, rahsia ini biar menjadi rahsia. Kalau Norjinah tahu perkara ini, bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah berubah hati pada wanita lain. Tapi... gadis itu terlalu berani meluahkan perasaannya. Mampukah dia menepis godaan yang datang?
“Tak mungkin Norseha. Abang hanya cintakan Norjinah!”
Kebahagiaan ini ibarat api yang membakar. Ia cukup menyeksakan. Cinta tak mengenal abang, kakak dan adik! Menang atau kalah bukan jawapannya. Cuma, jangan binasa mengikut rasa kerana impian itu lebih manis dari kenyataan.
No comments:
Post a Comment