Sunday, February 1, 2009
Chinta - Norhayati Berahim
Zahirnya dia lelaki yang sempurna, ada gaya ada harta. Sedangkan tiada sesiapa yang tahu, dia sebenarnya sedang menderita. Derita jiwa yang menghantui bertahun lalu lama. Kerana angkara si emak, lelaki yang bernama Raja Akid itu tidak pernah percaya pada cinta. Bahkan dendam yang berladung di hati tidak pernah dapat diusir dari diri. Dan sampai satu saat, gadis yang bernama Chinta itu hadir. Raja Akid terperangkap antara kasihnya terhadap Chinta dan bencinya pada wanita.Beranikah dia menghuraikan segala rahsia yang disimpan? Dapatkah dimiliki kasih Chinta? Sebenarnya... hanya Raja Akid sahaja yang boleh menjawabnya.
Seribu Kali Sayang - Anis Ayuni
SUDAH ditakdirkan sejak lahir, Nur Qazrina atau Abby ditinggal ayahnya. Bagi Abby, tanpa kehadiran lelaki itu hatinya tetap bahagia. Menginjak usia remaja, ungkitan Kak Lisa yang dialah punca perceraian ibu dan bapa mereka, sangat membebankan jiwa. Kakaknya juga sering mempamer reaksi tidak menyenangi kehadirannya di rumah.
Daripada teman Kak Lisa yang silih berganti, kehadiran Syed Nadjmil Faiz dilihat oleh Abby sebagai calon suami yang terbaik untuk kakaknya. Sikapnya yang bertanggungjawab dan melindungi sesekali membuatkan Abby digoda perasaan. Namun mujurlah dia segera mengingatkan diri bahawa bakal abang ipar masakan boleh dijadikan teman sendiri.
Hasrat meminang yang disuarakan oleh Syed Nadjmil Faiz menimbulkan konflik. Bagi Abby, hasrat itu jatuh di tempat yang salah kerana bercinta dengan kakak, mengapa pula yang dipinang adiknya? Sudah hilang pertimbangan akal barangkali, maka Syed Nadjmil Faiz memilihnya dan bukan Kak Lisa.
Bagi Syed Nadjmil Faiz, berkawan bukan ertinya berkasih. Sekian lama mengenali si kakak, hatinya tidak pernah disapa rasa cinta. Tetapi pertama kali bertemu Abby, perasaannya digoda rindu. Meskipun sangat mengharap agar salam kasihnya bersambut, dia sedar Abby berhak menolak.
Kebencian Kak Lisa terhadap Abby bagaikan tidak bernoktah. Abby terjebak dalam dilema. Bagaimana kemelut ini hendak dirungkai?